Langkawi: Dulu Ikon Pelancongan, Kini Hanya Bayangan
Langkawi bukan seperti dulu. Aku sampai di sini ketika cuti sekolah dan Tahun Baru Cina, masa yang sepatutnya penuh dengan pelancong, deretan kenderaan, kedai-kedai makan sesak, pantai berpenghuni. Tapi anehnya, suasananya hambar. Tidak semeriah dulu. Tidak ada keterujaan seperti yang pernah aku rasai sebelum ini. Pantai penuh juga, namun itu sahaja lah. Seperti hanya itu sahaja tarikan di Langkawi.
Mana pelancong domestik? Adakah kerana cuti panjang, orang memilih destinasi lain? Atau adakah Langkawi sudah kehilangan daya tarikan? Aku tidak pasti. Tapi yang aku pasti, vibe Langkawi tidak seperti dulu. AKu suspect juga, ramai yang bercuti di Thailand. Masa naik bot Mangrove Tour, boatman tunjukkan pulau di Thailand, hanya sepelaung sahaja dari Langkawi.
Banyak faktor mungkin menyumbang kepada situasi ini. Isu pendatang tanpa izin, harga makanan yang mencanak naik, dan kemudahan yang semakin tidak terjaga menjadikan Langkawi semakin jauh dari status “syurga pelancongan”. Ada banyak tarikan baru, tetapi itu sekadar ada. Tidak terasa roh yang membuatkan seseorang mahu datang kembali.
Dulu, Langkawi tempat untuk semua. Dari backpackers hingga keluarga sederhana, semua boleh menikmati keindahan pulau ini. Kini, jika ingin percutian yang benar-benar berkualiti, ia lebih sesuai untuk yang berduit besar.
Jika mahu bercuti gaya VVIP, Langkawi masih ada tarikannya. Banyak resort bertaraf 5 bintang yang menawarkan pengalaman serba mewah. The Datai, Four Seasons, Ritz-Carlton, St. Regis semuanya memberikan pengalaman percutian luar biasa. Tetapi harganya? RM2,000 hingga RM3,000 satu malam. Itu bukan angka kecil bagi kebanyakan rakyat Malaysia.
Bagi yang bercuti bajet, homestay bersepah di merata tempat. Tidak lagi tertumpu di kawasan pelancongan, hampir setiap kampung kini menawarkan penginapan. Chalet masih banyak, tetapi keadaan Pantai Chenang sendiri sudah terlalu overrated. Deretan kedai mungkin masih ada tarikannya, tetapi pantainya sendiri sudah tidak seperti dulu. Aku perasan ada lumpur, sedangkan dulu ia berpasir. Entah apa yang telah berlaku.
Selain itu, satu lagi masalah yang menambah imej suram Langkawi ialah projek-projek terbengkalai. Aku tidak pasti sama ada Widad Langkasuka akan diteruskan atau sekadar tinggal sebagai impian atas kertas. Dengan Bin Zayed Group sudah tarik diri, projek bernilai berbilion ringgit itu kini tergantung. Tanpa rakan kongsi kukuh, bagaimana ia mahu diteruskan? Hanya masa yang akan menentukan.
Aku nak cerita pasal trip aku pun jadi tak best. Kami stay dua malam. Hari pertama pergi KILIM Mangrove Tour. Ini memang best. Natural. Dapat pula boatman merangkap guide yang seronok bercerita. Jadi penuh dengan maklumat. Seronok tengok hutan paya bakau, helang berterbangan, Gua Kelawar, dan keindahan semula jadi yang masih terjaga.
Hari kedua, kami pergi Wild Life Park. Ini pun best juga. Adik aku paling enjoy sebab dia memang suka binatang. Banyak interaction dengan haiwan, boleh bagi makan burung, arnab, dan rusa. Memang pengalaman yang menarik, terutama untuk keluarga yang bawa anak kecil.
Walaupun ada beberapa tempat yang masih menarik, secara keseluruhannya Langkawi tidak lagi gah seperti dulu. Mungkin sebab faktor ekonomi, mungkin juga sebab orang dah mula mencari tempat lain yang lebih berbaloi.
Aku rasa Langkawi kena buat sesuatu. Tapi siapa? Siapa yang betul-betul boleh mengubah keadaan? Siapa yang boleh pastikan Langkawi kembali jadi destinasi pelancongan utama Malaysia? Atau kita hanya akan biarkan ia terus pudar?