Episod 3 : Ramadhan, Rindu & Pengorbanan

Kebenaran yang Tertangguh

Langit malam masih gelap pekat, hanya diterangi kelipan cahaya dari blok-blok apartment yang masih belum tidur. Di satu sudut, Aamal duduk bersila di atas sofa, telefonnya masih di tangan. Mesej tadi masih belum terjawab.

“Abang, siapa yang hantar mesej ni?” soalnya perlahan, tetapi cukup tajam untuk membuat Qayyim menoleh.

Qayyim mengambil masa beberapa saat sebelum menjawab. “Entahlah… mungkin salah hantar.”

Aamal tidak percaya. Hatinya bergetar. Dia mengenali suaminya, jika dia berkata ‘entahlah’, itu bermaksud dia tahu sesuatu tetapi tidak mahu beritahu.

“Abang pasti?” Aamal mencuba lagi, suaranya lebih lembut.

Qayyim menghela nafas panjang. Matanya jatuh pada sampul lusuh yang masih digenggamnya sejak tadi. Dia sudah bersedia untuk bercakap, tetapi kata-kata terasa berat di lidah.

“Esok kita bincang, Aamal. Abang penat,” katanya, sebelum bangkit ke bilik dan menutup pintu.

Aamal terkedu. Ada sesuatu yang Qayyim sembunyikan dan dia tahu, dia perlu cari jawapannya sendiri.


Penyiasatan Tanpa Jawapan

Keesokan harinya, sewaktu Qayyim sudah keluar bekerja, Aamal duduk termenung di meja makan. Fikirannya masih bercelaru. Siapa yang menghantar mesej itu? Dan kenapa menyebut tentang Qayyim?

Dia menggenggam telefon dan menaip mesej balasan.

“Siapa awak? Kenapa awak hantar mesej tentang suami saya?”

Beberapa minit berlalu, tiada jawapan. Aamal mula rasa sesuatu yang tidak kena.

Tiba-tiba telefonnya bergetar. Panggilan masuk dari nombor yang sama.

Aamal menelan air liur. Haruskah dia jawab?

Dengan tangan sedikit menggigil, dia menekan butang hijau.

“Hello?”

Senjata sunyi. Tetapi ada bunyi nafas di hujung talian.

“Siapa ni?” suara Aamal sedikit tegang.

Lama baru suara di talian menjawab. Suara seorang wanita.

“Saya… saya tak boleh cakap lama. Qayyim mungkin tak nak awak tahu, tapi saya perlu beritahu… awak kena tanya dia sendiri tentang ‘surat itu’.”

Telefon terus dimatikan.

Surat?

Aamal tersentak. Surat yang Qayyim pegang malam tadi!

Tanpa berlengah, dia terus menghubungi Qayyim. Tiada jawapan.

Dia cuba lagi. Masih sama. Qayyim tidak menjawab.

Ada sesuatu yang besar sedang berlaku. Dan ia bukan sekadar ‘salah hantar mesej’.


Mata Bertemu Mata

Malam itu, Qayyim pulang lebih lewat dari biasa. Aamal sudah bersedia. Dia menunggu suaminya di meja makan, sampul lusuh itu kini berada dalam genggamannya.

Qayyim terpaku melihatnya.

“Aamal… kenapa pegang benda tu?”

“Patutnya saya yang tanya abang,” balas Aamal, suaranya perlahan tetapi penuh makna. “Apa dalam surat ni, abang?”

Qayyim kelihatan serba salah. Dia sudah tiada pilihan lagi.

Perlahan-lahan, dia menarik kerusi dan duduk di hadapan Aamal. Matanya bertemu dengan mata isterinya yang menunggu jawapan.

Akhirnya, dia bersuara.

“Aamal, ada sesuatu yang saya dah lama nak beritahu awak…”

Aamal menahan nafas.

“Sebenarnya, surat ini tentang…”

TIBA-TIBA, TELEFON AAMAL BERDERING.

Qayyim terhenti.

Aamal mengambil telefon. Nombor yang sama.

Dia mengangkat.

Dan saat itu juga, wajahnya berubah.

Episod 4 : Ramadhan, Rindu & Pengorbanan
Episod 2 : Ramadhan, Rindu & Pengorbanan